Monday, August 4, 2008

Misteri: Dikejar Sumpah Firaun

Oleh : Nasron sira Rahim




Penaga ekspedisi makam Raja Tut maut digigit nyamuk, burung kenari ahli arkeologi ditelan ular tedung

“BARANGSIAPA menyentuh makamku, dia akan menjadi makanan buaya, kuda nil dan singa.”


Demikianlah ungkapan amaran yang dipahat di makam yang menguburkan jasad firaun di Mesir. Membaca ungkapan itu mungkin meninggalkan kesan menyeramkan kepada ramai pihak terutama ahli arkeologi dan mereka yang terbabit dalam kerja cari gali makam firaun di negara itu.

Ungkapan yang terpahat itu mungkin sumpahan yang ditinggalkan firaun selepas dia meninggal dunia, dan sumpahan itu dikhuatiri akan menimpa sesiapa saja yang mengganggu persemadian pemerintah Kerajaan Mesir Purba itu.

Mengingatkan kekejaman firaun ketika hidup saja sudah membayangkan azab kepada sesiapa yang cuba membangkang perintah mereka. Tidak mustahil kekejaman itu cuba dibawa firaun selepas mati menerusi ungkapan sumpahan berkenaan.

Bagaimanapun, selepas puluhan tahun kerja membongkar makam firaun dijalankan, didapati sememangnya tiada ahli arkeologi atau pihak yang terbabit dalam kerja cari gali itu yang mati dibaham buaya, kuda atau singa.

Cerita mengenai sumpahan itu terus berlarutan berikutan berlaku kematian misteri di kalangan ahli arkeologi dan pihak berkaitan terutama membabitkan pembongkaran makam firaun Raja Tutankhamun.



Makam Raja Tutankhamun atau Raja Tut adalah antara makam firaun yang paling lewat ditemui tetapi berbanding makam lain, makam Raja Tut paling popular dan misteri di kalangan ahli arkeologi.

Populariti makam Raja Tut bukanlah mengenai binaan bangunan yang menakjubkan tetapi misteri ‘sumpahan maut’ yang dipercayai boleh terkena sesiapa saja yang mengganggu atau membongkar lokasi persemadian raja itu.

Raja Tut dikatakan firaun termuda dalam sejarah Kerajaan Mesir Purba. Dia menjadi pemerintah Mesir seawal usia sembilan tahun, tetapi kekuasaan dan kemewahan menerusi gelaran raja bukanlah sesuatu yang membanggakan Raja Tut.

Malah gelaran dan pangkat itu hanya mengundang musibah apabila dia mati pada usia paling muda iaitu 19 tahun. Punca kematiannya masih menjadi misteri yang cuba dirungkai ahli arkeologi sehingga kini.



Persemadian Raja Tut selama lebih 3,000 tahun mula ‘diganggu’ sekitar November 1922 apabila makam firaun itu dibongkar sekumpulan ahli ekspedisi arkeologi diketuai Howard Carter.

Ekspedisi pencarian makam firaun dan kegiatan arkeologi Carter bersama kumpulannya dibiayai hartawan, Lord Carnarvon, dan usaha mereka akhirnya menemui makam bersejarah Raja Tut di gurun dikenali Lembah Raja Mesir.

Makam Raja Tut dianggap makam firaun paling sempurna berbanding makam lain yang ditemui sebelum itu kerana kerja arkeologi bukan saja menemui mumia firaun termuda dalam sejarah Kerajaan Mesir Purba tetapi turut menemui harta karun yang banyak!

Bagaimanapun, kegembiraan penemuan artifak arkeologi paling bersejarah dan harta karun menimbun itu sekadar sementara. Sebaliknya, pelbagai kejadian ngeri dan tragis mula menghantui kumpulan arkeologi sebaik pintu masuk ke makam itu dicerobohi.

Tiada lagi kegembiraan mengukir sejarah dunia arkeologi atau angan-angan untuk hidup mewah hasil penemuan itu. Kejadian ngeri dan seram yang berlaku satu demi satu terhadap beberapa ahli ekspedisi terus mengundang ketakutan kepada ahli kumpulan lain.

Mereka mula memikirkan bahawa usaha membongkar makam Raja Tut adalah satu kesilapan yang terpaksa dibayar dengan nyawa mereka sendiri! Maut seolah-olah mengekori nyawa masing-masing bagaikan bayang-bayang.

Kejadian seram paling berpengaruh berhubung sumpahan Raja Tut berlaku kepada penaja ekspedisi itu sendiri iaitu Lord Carnarvon. Hartawan itu maut pada 4 April 1923 iaitu kira-kira dua bulan selepas perasmian pembukaan makam itu di sebuah hotel di Mesir pada Februari 1923.

Malah punca kematian Carnarvon juga dikatakan pelik iaitu akibat tercukur benjol di mukanya. Benjol merah itu akibat gigitan nyamuk.

Lebih membingungkan adalah pakar arkeologi mendapati kesan kemerahan akibat gigitan nyamuk pada pipi mayat Carnarvon hampir menyamai kesan kemerahan pada pipi kiri mumia Raja Tut.

Pada masa hampir sama dengan kematian Carnarvon, anjing peliharaan hartawan itu yang ditinggalkan di kediamannya di England, melolong tanpa henti sehingga menemui maut.

Kematian membabitkan Carnarvon dan anjingnya pada saat perasmian pembukaan makam itu tidak berakhir di situ saja. Burung Kenari milik Carter pula mati ditelan ular tedung ketika ahli arkeologi itu membawa haiwan terbabit ke perasmian makam berkenaan. Ular tedung juga dikaitkan dengan hiasan kepala yang digunakan firaun.

Carter percaya kenari bukanlah burung sebarangan kerana penemuan makam Raja Tut diyakininya akibat ‘tuah’ haiwan peliharaannya itu. Burung yang dibeli untuk menghiburkan dirinya itu dikatakan menunjukkan petanda sebelum penemuan kubur itu.

Tragedi membabitkan hotel perasmian itu masih tidak berkesudahan selepas meragut tiga mangsa. Kejadian seterusnya berlaku kepada ketua arkeologi dan muzium di New York, Amerika Syarikat; Arthur Mace.

Lima tahun selepas penemuan mumia Raja Tut, Mace yang membuat kajian mengenai harta karun dan barang antik yang ditemui dalam makam itu meninggal dunia selepas koma tanpa sebab di hotel berkenaan.

Pada 1972 pula, Dr Gamal Mehrez selaku pengurus barangan antik di Mesir mati sehari sebelum harta karun dan barang antik dari makam Raja Tut di hantar ke England.

Selain itu, sekretari peribadi Carnarvon, Richard Bethell, juga maut akibat serangan jantung selepas empat bulan lelaki itu masuk ke kawasan makam.

Bagaimanapun, di sebalik semua kejadian itu, banyak pihak yang skeptikal mengenai sumpahan Raja Tut. Mereka mengandaikan semua kemalangan itu berlaku bukan disebabkan sumpahan firaun.

Mereka berpendapat kematian Carnavon bukan berpunca daripada kesan kecederaan akibat pisau cukur pada pipi lelaki itu sebaliknya hartawan itu sendiri dikatakan sudah lama mengalami masalah kesihatan akibat terbabit dalam kemalangan.

Koma yang dialami Mace pula dikatakan berpunca akibat pengkaji itu terlalu penat bekerja tanpa rehat.

Seorang ahli ekspedisi arkeologi yang turut tidak mempercayai kesan sumpahan itu adalah Richard Adamson, pengawal makam sepanjang musim projek kajian dijalankan yang mati 57 tahun selepas penemuan itu.

Adamson tidak percaya mengenai sumpahan Raja Tut tetapi sepanjang hayatnya selepas pembongkaran makam Raja Tut itu, kejadian tragik terus menghantui diri dan keluarganya.

Antaranya dia nyaris maut apabila kepalanya hampir digilis tayar kenderaan selepas tercampak keluar dari teksi yang dinaikinya akibat terbabit dalam kemalangan.

Walaupun dirinya terselamat, isterinya mati dan anaknya patah tulang belakang akibat kemalangan itu.

Bagaimanapun, seperti juga pihak skeptikal lain, lelaki itu menganggap semua kejadian itu berlaku secara kebetulan.

Sementara itu, seorang saintis Perancis, Sylvian Gandon mengemukakan satu teori mengenai kematian tragik yang menimpa beberapa ahli arkeologi itu dalam bukunya yang bertajuk ‘Proceedings of The Royal Society’.

Menurutnya, kematian itu berkemungkinan disebabkan spora mikro dan serangga pembunuh yang terperangkap dalam makam itu sejak lebih 3,000 tahun lalu.

Sama ada sumpahan Raja Tut benar atau sekadar kebetulan, ia sememangnya masih menjadi misteri. Bagaimanapun kejadian seperti sihir atau fenomena sains seperti spora dan beracun sememangnya nyata dan wujud.


FAKTA: Kejadian dikaitkan dengan sumpahan Raja Tut



  • Pembiaya ekspedisi, Lord Carnarvon maut digigit nyamuk.

  • Anjing Carnarvon melolong dan mati.

  • Burung kenari ketua ekspedisi Howard Carter ditelan ular tedung.

  • Pengkaji harta Raja Tut, Arthur Mace, koma dan maut.

  • Pengurus barang antik, Dr Gamal Mehrez maut selepas pindahkan harta Raja Tut.

  • Isteri ahli ekspedisi, Richard Adamson maut nahas kereta.

  • Ahli radiologi yang mengimbas mayat Raja Tut meninggal sebaik tiba di England.

  • Anggota ekspedisi, George Gould meninggal kerana demam tinggi.

  • Setiausaha peribadi Carnarvon, Richard Bethell maut kerana serangan jantung.

No comments: