Wednesday, July 16, 2008

Keloid dan Perawatannya

Assalamualaikum..

Dah lama tak tulis tentang artikel perubatan. Hari ini mari kita bercerita berkenaan dengan "Keloid". Apabila kita terluka sebagai contoh terkena pisau, kesan parut yang terbentuk adakalanya timbul tetapi lama kelamaan ia akan menjadi rata dan hilang. Adakalanya parut akan timbul, tidak mahu hilang tetapi kesan parut hanya berada pada kawasan yang terluka sahaja.




Keloid adalah luka parut yang hidup. Ia menjadi timbul, membesar dan akhirnya keluar dari sempadan luka yang lama. Kadangkala ia boleh menjadi begitu besar sehingga menyebabkan rasa sakit, gatal dan kurang selesa. Bukan itu sahaja, ia boleh menyebabkan tekanan perasaan dan perasaan rendah diri kerana secara kosmetik ia boleh mengubah fizikal seseorang. Namun, secara medikal, ia tidak mengundang bahaya kepada nyawa.

Keloid boleh terhasil daripada luka terbakar, luka hirisan, luka yang terkena kuman, chicken pox (cacar), tempat vaksinasi (di bahu - biasanya bekas BCG), jerawat, malah luka-luka kecil. Bagaimana keloid boleh terjadi agak misteri. Ini adalah kerana walaupun di badan seseorang yang sama, luka di tangan kanan boleh menjadi keloid sedangkan di tangan kiri tidak pula menjadi keloid. Walaupun begitu, secara saintifik, keloid terhasil daripada penghasilan tisu parut seperti kolagen yang berterusan dan berterusan tanpa henti.

Keloid boleh berlaku di dalam keluarga. Ibu dan ayah yang ada masalah keloid, biasanya anak-anak mereka juga ada. Di Barat, keloid berlaku di kalangan keturunan Afrika berbanding orang kulit putih. Begitu juga di Malaysia. Kebanyakan kaum India mempunyai kulit yang senang terkena keloid, kedua melayu dan ketiga kaum cina. Anggota badan yang senang terkena keloid apabila luka ialah dada, telinga, bahu, leher dan muka.




Keloid sangat sukar diubati. Sehingga kini, merawat keloid mengambil masa yang panjang dan berterusan. Malah ketika saya bertugas di pembedahan plastik, ada pesakit yang menerima rawatan sejak dia di bangku sekolah Menengah sehingga mula bekerja. Ada yang failnya menjadi tebal kerana kekerapan ulangan menerima rawatan.

Sekiranya ia masih lagi menjadi tisu parut yang kecil dan mula berkembang tetapi masih di dalam sempadan lukanya (hypertrophic scar), rawatan seperti urut (massage) dan silicon patch boleh digunakan. Urutan perlahan pada parut tersebut (sendiri urut la baaang), 3-4 kali sehari dalam 1/2 jam ke sejam setiap hari ketika menonton TV atau membaca surat khabar, boleh memberi kesan positif dalam masa 3-4 bulan. Parut menjadi lembut, rata dan kurang gatal.
Cara yang lain ialah menggunakan silikon patch. Ia biasanya digunakan di tempat-tempat yang sukar dicapai seperti di kawasan belakang dan punggung. Tetapi boleh juga digunakan di tempat-tempat yang terbuka.

Di Jabatan Pembedahan Plastik HKL, selain daripada bantuan nasihat, terdapat juga rawatan suntikan yang dipanggil Triamcinolone Acetonide atau Kenacort. Ia sejenis suntikan steroid yang digunakan untuk memberhentikan penghasilan kolagen di dalam tisu parut. Steroid ini akan disuntik ke dalam keloid, kemudian pesakit akan datang semula untuk menerima suntikan selama 6 kali (satu kitaran) setiap selang 4-6 minggu.



Pembedahan juga dilakukan mengikut kesesuaian. Adakalanya luka keloid tidak sesuai dibedah. (Anda lupa ke - keloid terhasil daripada luka termasuk luka bedah!).. Adakalanya keloid yang dibedah boleh menjelma semula (50%) - malah datang dengan pembalasan dendamnya! Ia boleh menjadi sebesar bola golf!

Oleh itu.... dengarlah nasihat doktor anda. Kalau dia kata tak boleh bedah.. tak boleh bedah lahhh... nak jugak bedah?... eeee... gerammnyaaa.. haaa..... sori lah.. angin pulak saya nih... bukan apa.. teringat masa jadi doktor kerajaan dulu... dah nasihatkan jangan bedah.. dia pergi carik doktor mana tah... bedah jugak.. bayar Ribu-Ribu... lepas tuh datang balik kat kita menyesal... benda tuh datang balik balas dendam... besar dan susah nak rawat... macam cerita jangan pandang belakang pulak.. ye dak..




Bukan apa, sebab jabatan plastik surgeri dealing dengan penyakit ini selalu jadi kami tahu serba-serbi banyak pasal penyakit ni... kebanyakan doktor di luar sana tidak berapa tahu sangat sebab jarang2 jumpa... nampak duit banyak... main bedah je lah.. sekarang, pesakit yang susah.
Selain itu ada modaliti perawatan lain macam laser, cryosurgery dan Radiation therapy! (Haaa.. silap-silap nak rawat keloid.. kena kanser pulak... ) yang saya pun tak tahu sangat. Canggih... tapi bak kata Prof Datuk Dr Ahmad Ridzwan Arshad (bekas Ketua Jabatan saya).. apa-apa kita buat pun.. gitulah rupanya... takde lah berkesan sangat pun... Tak pelah. Kita rawat sahaja, yang menyembuhkannya tu Allah. Doa lah banyak-banyak.

Wallahu A'lam.

Posted by Dr Azwan at 3:24 PM

No comments: