Thursday, July 17, 2008

Hasil debat serlahkan kegagalan kerajaan urus ekonomi

Dipetik dari Harakahdaily

Hashim Abdullah
Thu | Jul 17, 08 | 3:48:11 pm MYT


TEMERLOH, 17 Julai (Hrkh) - Orang ramai yang mengikuti debat membabitkan Menteri Penerangan, Dato' Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini menyimpulkan bahawa hasil debat tersebut sebagai kegagalan pihak kerajaan menguruskan ekonomi yang menjadikan rakyat susah sekali gus memberi gambaran bahawa Pakatan Rakyat ada jalan penyelesaiannya.

Mereka beranggapan kalau keadaan mentaliti menteri-menteri kerajaan setaraf wakil debatnya, negara akan mengalami krisis ekonomi lebih teruk pada masa akan datang.

Walau bagaimanapun rata-rata yang ditemui selepas debat bersetuju dan menghargai keberanian Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Sabery Cheek untuk mencipta suasana politik baru (debat umum) agar lebih terbuka pada masa akan datang.

Mmenurut mereka kelemahan di pihak kerajaan adalah disebabkan ketiadaan budaya rakyat dalam pemikiran.

"Tak ada sepatah pun wakil kerajaan cakap nak bersungguh�sungguh atasi isu rakyat miskin berbanding Anwar. Malahan debat digunakan untuk mencari ruang menyerang Anwar secara peribadi. Inilah budaya pemimpin Umno hanya nak jaga kedudukan politik mereka saja.

"Lebih mendukacitakan, wakil kerajaan itu ternyata gagal menjawab soalan yang dikemukakan wakil Anwar dari akhbar Siasah saudara Zulkifli Sulong," kata mereka.

Debat bertajuk 'Hari Ini Membentuk Kerajaan Esok Turun Harga Minyak' yang diadakan di Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) kelmarin mendapat perhatian ramai yang inginkan hasil yang boleh menyelesaikan masalah hidup yang dihadapi mereka.

Peniaga, Ramli Mat bersetuju kenaikan harga minyak adalah punca kepada penderitaan rakyat kerana kesannya, keseluruhan harga barangan di pasaran turut meningkat.

"Kalau kita tengok debat itu kita nampak pihak kerajaan memang tak ada idea nak jaga ekonomi. Bukannya tak ada jalan nak tolong rakyat, ada, kalau ikut cara Anwar mungkin semua perkara akan dapat diselesaikan. Memang munasabah cakap Anwar, memang ada penyelesaiannya, dia ada idea," katanya.

Pekerja swasta, Rizal Kiflie tidak terperanjat dengan kelemahan wakil kerajaan dalam debat tersebut.

"Apa yang rakyat mahukan hasil debat itu boleh menyelesaikan masalah kenaikan harga minyak bukan menggunakan ruang menyerang lawan dengan isu-isu peribadi," katanya.

"Kita memang tunggukan saat ini tetapi kita kecewa wakil kerajaan telah gagal membawa penyelesaian. Saat macam ini rakyat tak nak dibebankan dengan isu peribadi yang tak siapa tahu betul salahnya," sambungnya. - mns _

No comments: