Wednesday, July 23, 2008

Dara Palsu : Terdesak tutup noda

JOHOR BAHRU: “Saya sanggup keluar belanja RM4,000 untuk melakukan pembedahan pemulihan selaput dara semata-mata bagi meyakinkan suami saya masih suci pada malam pertama perkahwinan,” kata Lina (bukan nama sebenar).

Dia yang berusia 28 tahun antara segelintir wanita di negeri ini yang pernah menjalani pembedahan seumpama itu di beberapa pusat perubatan sekitar bandar raya ini bagi membolehkan mereka memiliki selaput dara ‘tiruan’ sebelum menempuh alam perkahwinan untuk menutup keterlanjuran ketika zaman remaja.

Lina berkata, dia menjalani pembedahan itu di sebuah pusat perubatan di bandar raya ini awal tahun lalu, sebelum mendirikan rumah tangga seminggu kemudian.

“Biarpun dihantui rasa bersalah dek kesalahan lampau, saya lega kerana selaput dara saya seolah-olah pecah dan berdarah pada malam pertama perkahwinan kami.


“Hingga sekarang, saya tak pernah menceritakan pengalaman hitam silam kepada suami. Bukan apa, saya takut dia tak dapat menerima kenyataan hingga menjejaskan keharmonian rumah tangga kami.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami aman damai dan saya baru saja menimang cahaya mata pertama, April lalu,” katanya kepada Harian Metro.

Mengimbau semula kisah silamnya, Lina berkata, dia dinodai bekas teman lelakinya ketika menuntut di luar negara, lapan tahun lalu.

Menurutnya, peristiwa itu berlaku kerana dia terlalu percayakan lelaki terbabit yang juga rakan sekolejnya, selain faktor berada berjauhan dari keluarga.

“Cabaran hidup di luar negara cukup hebat kerana kita bebas daripada kawalan keluarga. Seperti remaja lain, naluri saya ketika itu ingin bercinta, mencintai dan dicintai. Malangnya saya gagal mengawal nafsu hingga hilang perawan.

“Lebih malang, hubungan kami tidak berpanjangan dan terpaksa berpisah selepas kehadiran orang ketiga, juga pelajar Malaysia di universiti sama,” kata eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta di sini.

Gara-gara dikecewakan, kata Lina, dia serik bercinta dan tidak mempunyai teman lelaki sehingga 2005, sebelum bertemu suaminya, seorang eksekutif muda di sebuah syarikat lain di bandar raya ini.

“Kami bercinta dua tahun sebelum memutuskan mendirikan rumah tangga awal tahun lalu. Ketika itu saya terfikir melakukan pembedahan memulihkan selaput dara selepas membaca artikel di sebuah majalah.

“Lebih mudah apabila saya mendapat tahu daripada beberapa teman rapat khidmat itu turut disediakan di beberapa pusat perubatan di bandar raya ini. Demi masa depan, saya sanggup mengorbankan sebahagian wang simpanan untuk menjalani pembedahan itu. Saya tak pernah menyesal kerana bagi saya itu pilihan terbaik,” katanya.

Sementara itu, pakar sakit puan sebuah pusat perubatan swasta yang enggan dikenali berkata, pembedahan itu disalahgunakan segelintir gadis yang pernah melakukan hubungan seks bersama bekas teman lelaki sebelum ke jenjang pelamin dengan lelaki lain.

Beliau berkata, kebiasaannya, gadis yang terdesak melakukan pembedahan itu berasal daripada keluarga berada selain sanggup menanggung kos rawatan antara RM3,000 sehingga RM5,000 kerana khuatir perbuatan tidak senonoh yang pernah dilakukan bersama bekas teman lelakinya terbongkar pada malam pertama.

Menurutnya, mereka menganggap cara itu penyelesaian terbaik dan mudah berbanding rawatan tradisional memulih dara yang mungkin lebih rumit.

“Sesetengah mereka gadis lepasan universiti sehinggalah wanita bekerja,” katanya.

Beliau berkata, proses melakukan pembedahan itu memakan masa setengah jam dan proses menjahit serta merapatkan kembali ‘dara’ tertakluk kepada keadaan selaput dan mereka akan diperiksa terlebih dulu sebelum proses rumit berkenaan dijalankan.

“Prosesnya agak rumit kerana doktor pakar perlu berhati-hati menjahit selaput menggunakan benang sangat halus, terutama bagi selaput nipis untuk mengelak lebih banyak kerosakan.

“Jahitan pemulihan dara hanya bersifat kosmetik dan ia hanya berfungsi merapatkan kembali selaput berkenaan, tapi tidak mungkin kembali seperti asal.

“Seseorang gadis dinasihatkan melakukan pembedahan pemulihan dara tidak lebih seminggu sebelum malam pertamanya dan jahitan itu hanya kekal sehingga dia melakukan persetubuhan bersama pasangannya itu,” katanya.

Pakar sakit puan itu berkata, secara lazimnya, bukan semua persetubuhan kali pertama menyebabkan pendarahan berikutan selaput dara pecah, sebaliknya bergantung kepada keadaan lapisan dara seseorang wanita.

Menurutnya, mengikut suatu kajian di luar negara, hanya 43 peratus wanita dilaporkan mengalami pendarahan ketika pertama kali melakukan hubungan seks.

Tambahan pula, katanya, selaput dara bukan penentu seseorang wanita itu masih dara atau tidak kerana perubatan moden menunjukkan ada wanita dilahirkan dengan selaput dara terkoyak.

“Selaput dara boleh terkoyak akibat aktiviti lasak atau berpunca daripada hubungan seksual. Oleh itu, tindakan segelintir gadis memulihkan daranya dengan niat buruk boleh dianggap sebagai perbuatan tidak mendatangkan sebarang faedah,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Sakit Puan dan Ginekologi Hospital Pakar Johor, Dr Terence Teoh, berkata kebiasaannya lelaki tidak dapat menentukan sama isterinya dara atau tidak dengan melakukan hubungan kelamin pada malam pertama.

Beliau berkata, tindakan meletakkan kain putih untuk mengesan ‘darah’ seperti amalan pada zaman dulu tidak semestinya benar kerana wanita hanya akan ‘berdarah’ jika selaputnya pecah pada malam itu.

Menurutnya, secara umumnya selaput dara ada lubang sebagai laluan darah haid tetapi saiz lubang itu berbeza antara wanita, ada yang kecil dan besar sehingga tidak terkoyak atau hanya terkoyak sedikit walaupun dengan kemasukan zakar.

“Ada juga wanita yang mempunyai selaput dara elastik dan kekal walaupun banyak kali bersetubuh. Rawatan berkenaan sebenarnya tidak diperlukan. Jika masalah selaput dara boleh menyebabkan keruntuhan rumah tangga, ia tindakan tidak munasabah.

“Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga perlu berfikir secara matang kerana kebahagiaan rumah tangga bukan terletak pada selaput dara semata-mata. Terdapat banyak faktor boleh menyebabkan ia terkoyak,” katanya.

No comments: