Thursday, July 10, 2008

Cerpen Cinta - Kenangan Terindah

Catatan buatmu, Hani...

Jejariku rasa menggeletar kala menerima sampul surat berwarna biru muda yang tertera namaku. Aku telah menduga sampul surat berwarna biru itu pasti darimu. Warna biru memang warna kegemaranmu dan warna biru itulah yang pasti kau gunakan untuk menulis bingkisan buatku. Biru adalah warna romantis dan kelembutan katamu.

"Zyid, mencintai tidak bererti memiliki, menyayangi dan mengasihi tidak bermakna hidup bersama selamanya. Semua itu sama saja, ia mungkin hanya impian belaka. Kita hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan.

Cukuplah setakat sampai di sini percintaan kita Zyid...Keadaan memaksa kita untuk berpisah. Lupakan saja semua impian kita kerana tidak semua impian akan menjadi kenyataan.

Andai kata kita ada jodoh, pasti kita akan bersua lagi, anggaplah aku hanya pernah hadir dalam hidupmu. Suatu hari nanti kau pasti akan mengerti apa sebenarnya hikmah di sebalik perpisahan ini. Tanamlah semua lembaran kisah cinta kita, biarkan ia bernisankan sepohon bunga kemboja. Sebagai tanda yang kita pernah bertemu dan pernah mengukir impian di siang hari. Namun akhirnya berpisah jua atas sebab yang mungkin kau tidak akan pernah mengerti... Biarlah menjadi rahsia hatiku....."

-----------------

Semudah itukah kau melafazkan ungkapan yang berbisa itu Han? Tidakkah kau tahu betapa ungkapan itu cukup berbisa dan meracuni sekeping hatiku? Umpama peluru mortar yang menembusi dadaku? Berilah aku sedikit waktu dan izinkanlah aku untuk bernafas walau sesaat Han.

Tidakkah kau tahu Han, selama ini aku telah mengukir impian untuk hidup bersama? Setelah sekian lama kita menjalin persahabatan dan secara tiba-tiba sahaja kau mengubah haluan? Jangan bercanda, Han.. Jangan cuba berlawak. Jangan permainkan hatiku yang suci dan cintaku yang tulus ikhlas ini. Aku merantau jauh semata-mata untuk masa depan kita. Aku ingin membahagiakanmu apabila kita hidup bersama nanti..bahagian bersama anak-anak kita. Aku masih mampu membaca bait-bait berbisa yang kau ukir di dada lembaran biru ciptaanmu. Bagaimanapun, air mata yang merembes tak mampu kutahan. Jiwa lelakiku tercalar jua. Aku tidak pernah menitiskan air mata semudah ini. Dan ia adalah terlalu mahal harganya bagiku. Kau telah berjaya melakukannya, Han. Air mata ini tidak mampu mengubat kelukaan ini.

Itulah lembaran terakhir kuterima, sekalipun aku mengharapkan kehadirannya buat sekian lamanya. Saat itu aku sedar, kau tidak bergurau apalagi bercanda, tetapi itulah kenyataannya. Aku juga terima jua hakikat yang diriku tiada lagi dihatimu.

Mengapa teganya kau tinggalkan aku, Han? Mungkinkah aku ada menyakiti hatimu? Sebesar manakah dosaku padamu sehingga kau tidak dapat memaafkanku, Han?

Kau tinggal aku dengan kenangan indah yang amat pahit untuk kulupakan dari memoir ingatanku. Aku tak berdaya, Han! Saatku tatap bait demi bait ungkapan terakhirmu rasa tercabut tangkai jantungku, lemah terasa sendi-sendiku. Apa ini cuma gurauan atau kau memang mendugaku? tapi kutahu ia bukanlah gurauan atau dugaanmu sebaliknya hakikat. Hakikat yang perlu kuterima di saat aku mengharapkan impian menjadi kenyataan.

Sekian lamanya hidupku sepi tanpa kehadiranmu. Hatiku benar-benar tercalar, tak siapa pun yang tau. Adakah lagi penggantimu yang akan menjadi penawar kelukaan ini?

Setahun lalu adalah kali pertama kubersua denganmu setelah lama tidak bersua dan tiada khabar berita. Aku terkedu tatkala melihat kau begitu mesra dan bahagia disamping suami dan anak-anakmu yang telah kian dewasa. Aku hanya mampu menyapamu di dalam hati...

Inilah kenangan terindah yang telah tertulis untukku dan untukmu Han. Moga kita mengecap kebahagiaan berpanjangan hingga ke akhir hayat.


Catatan buatmu Zyid....

bisa mengukir bait-bait indah, biar kuukirkan dan luahkan segala yang terbuku di lubuk hati ini dan andai aku seorang novelis yang petah menyusun kata-kata yang bisa merenggut tangkai hati setiap jiwa yang menghayatinya. Biar terlerai hati yang terkilan, biar tenang jiwa ini saat hembusan nafasku yang terakhir.

Kenangan yang pernah kita ukir bersama adalah kenangan terindah dan cukup manis untuk dikenang namun amat pahit untuk ditelan. Sejarah cinta ini biarlah tersimpan dalam lipatan sejarah yang tidak mungkin dan tidak akan pernah berulang buat selamanya. Cinta yang bersemi dan disemai selama 5 tahun diambang kepunahan apabila suatu peristiwa yang tidak kuduga. Petanda akan berakhirnya sebuah percintaan...

Aku tidak tahu mengapa aku mudah saja memberi kata setuju untuk menerima jemputanmu untuk hadir di hari ibu bapa penggal akhir persekolahan tempatmu bertugas. Ketika itu kau baru saja menyandang tugas sebagai guru sandaran. Kau beria-ria benar mengajak aku bertandang ke rumahmu sementelah kita juga bersaudara tetapi tidak pula pernah begitu rapat antara satu sama lain. Lagi pula bersebelahan kampung. Kutunaikan pelawaanmu untuk hadir setelah meminta izin kedua orang tuaku. Mujurlah adik dan juga anak saudaraku bersetuju untuk ikut sama menemani, tidaklah terasa kekok sangat. Kakak dan adik perempuanmu juga peramah dan baik hati memberi layanan yang baik.

Pertama kali kumelangkah masuk ke rumahmu, kami disambut dengan mesra oleh keluarga terutama ayah dan ibumu. Kau memperkenalkanku kepada keluargamu sebagai 'calon teman' hidupmu. Aku terpaku dan tergamam ketika itu. Terasa malu dan serba tak kena. Namun aku berjaya menyembunyikan perasaanku sebenar. Pun terasa wajahku menyirap ke wajah. Tidak kuduga ucapan itu akan lahir dari bibirmu di depan keluargamu. Betulkah apa yang kudengar ini? Akukah calon permaisuri hidupmu, tiada lagikah calon lain selain aku? Ah! Jangan buat lawak Zyd, aku tahu kau memang suka membuat lawak yang bukan-bukan. Tapi ini bukan boleh dibuat lawak. Lawak yang satu ini amat mendebarkan sekepal hatiku.

"Nak, tak usahlah kau terasa segan silu di rumah ini, anak ini telah kami anggap anak kami juga,"

Itulah ucapan ayahmu yang tidak pernah kulupa. Ucapan itu kudengar begitu telus yang lahir dari hatinya yang ikhlas. Kulihat bening sinar matanya melorot wajahku yang terasa merah merona lantas menyoroti wajahmu seperti telah membaca isi hati masing-masing. Kau yang duduk di sisiku senyum meleret penuh makna. Aku jadi tak keruan dibuatnya.

"Anggaplah rumah ini rumahmu sendiri. Keluargamu juga bukan orang lain. Kita ada hubungan keluarga cuma agak renggang. Nanti keluarga ini akan menjadi rapat semula jika kamu bertemu jodoh," Tambahnya lagi sambil menatap penuh pengertian pada wajah anak lelaki bujang yang satu-satunya harapannya. Debar jantungku kian terasa.

Dalam tenang aku hanya mampu tersenyum dan mengangguk tanda mengiyakan dan menghormati ucapannya. Kulihat Zyid tersenyum lebar seperti mentertawakan aku yang serba tak kena. Betul ke apa yang kudengar? Aku seperti bermimpi pula. Benarkah aku adalah 'calon menantu'? Ini sudah lebih. Zyid memang dah nekad mengenakanku.

----------------

Namun kenangan itu hanya singgah buat sementara saja. Semuanya sirna sekelip mata. Sepantas halilintar yang membelah langit.

Dalam diam kau telah membeli sebentuk cincin pertunangan untukku dan telah memaklumkannya kepada pihak keluargaku. Namun niatmu itu tidak terlaksanan dengan begitu mudah.

Keluargaku tidak menyetujui niatmu untuk menyuntingku menjadi suri hidupmu. Aku telah diberi dua pilihan antara meneruskan pelajaran atau akan dikahwinkan segera. Aku menjadi serba salah. Aku diberi tempoh untuk membuat keputusan. Andai aku memilih cita-cita aku harus menamatkan kisah cinta ini dengan segera. Saat itu gelap terasa dunia ini kurasakan...

Padah yang kuterima kerana menerima undanganmu mengundang masalah yang berat buatku. Gerimis air mataku menitis membasahi dada lembaran terakhir buatmu setitis demi setitis. Tiada apa lagi yang hendak kukatakan kerana aku harus membuat keputusan yang muktamad dan nekad. Ini adalah keputusan masa depanku.

Masa depan yang belum pasti, jauh dan samar. Keputusanku hari ini akan mengukir masa depanku. Antara cita dan cinta, adalah dua perkara yang berbeza. Aku harus bijak membuat keputusan. Namun keduanya amat perlu memerlukan. Cinta adalah soal hati dan jiwa nan halus dan cita-cita adalah soal realiti hidup yang perlu diukir dan dirancang dengan bijak. Namun apabila keduanya diberi batasan dan diseimbangkan maka ia akan menjadi suatu kejayaan dan kebahagiaan dalam hidup.

Namun aku adalah insan lemah, yang tak berdaya memilih keduanya pada waktu yang sama. Aku terperangkap di antara keduanya. Aku telah diberi peluang untuk membuat pilihan. Di tengah malam aku bermunajat ke hadrat Ilahi memohon petunjuk jalan yang harus kulalui...

Air mata tiada bermakna lagi bagiku. Aku harus nekad dan berani membuat keputusan sekalipun akan ada hati yang terluka dan dilukai. Aku akan hadapinya dengan tabah. Aku harus tempuh onak dan duri sekalipun hatiku telah hancur lebur. Aku harus meneruskan pengajianku. Akan kutunaikan janjiku kepada kedua orang tuaku untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Kau pernah mengatakan padaku di antara kita harus mencapai cita-cita dan tak akan lari gunung yang dikejar andai kata ada jodoh, kita pasti akan bersua lagi. Tapi bisakah aku melupakanmu dengan sebegitu mudah Zyid?

Apapun tanggapanmu padaku, aku rela menerimanya dengan hati yang terbuka. Kau berhak untuk berkata apa saja. Maafkan aku, Zyid kerana tega melukai hatimu. Andai kau berada dihadapanku di saat itu, ingin saja aku menangis melutut di kakimu untuk memohon ampun dan maaf.

Fahamilah tidak semua impian menjadi kenyataan. Ingatlah apabila kita mencintai manusia atau harta benda sudah pasti dua perkara akan berlaku. Antara kita atau dia akan pergi meninggalkan kita. Itulah hakikatnya. Biar kering air mata, ia tidak akan memberi makna. Aku tahu kau pasti menuduhku yang bukan-bukan kerana tindakanku yang bagimu terlalu drastik dan tidak bertimbang rasa.

Ketika kumenghadapi peperiksaan akhir pengajianku di tingkatan enam, aku telah mendengar khabar yang kau telah selamat diijabkabulkan dengan gadis sepengajianmu di maktab perguruan.

Saat itu tak terasa manik-manik jernih merembas laju membasahi pipi. Harapan dan penantianku selama ini berakhir sudah. Berakhir dengan sebuah kehancuran, berkecai bak kaca terhempas ke batu. Apa lagi yang hendak kukata? Apa lagi yang harus kunanti? Penantian yang tiada pasti dan tiada penghujungnya? Mengharap kasih pada yang tak tau? Betapa lemah dan kerdilnya aku dalam menilai erti cinta dan kesetiaan. Andai inilah takdir yang tertulis untukku dan untukmu, aku redha dan pasrah...

Terima kasih Zyid kerana telah mengajarku erti kasih sayang dan cinta sejati. Bukankah cinta sejti itu hanyalah milik Tuhan? Mencintai Ilahi itulah cinta yang hakiki. Kian kita dekat semakin hampirlah Dia. Dan pasti tiada yang akan rasa kecewa terluka dan dilukai. Itulah penawar segala kepedihanku. Semua itu kau tidak akan tau dan tidak akan pernah ambil tau...

Di kejauhan aku mendoakan kau dengan iringan gerimis air mata keikhlasan moga kau bahagia dengan gadis pilihanmu, sudah tentu dia lebih baik yang tertulis untukmu. Biarlah ini abadi dalam kenangan terindah dalam hidupku. Dan akan kujadikan ia memoir yang akan kau baca dan ketahui satu hari nanti. Mungkin saat itu aku telah pergi jauh dan tak akan kau jumpa lagi. Semoga tiada lagi ungkapan sakit hati dan benci padaku. Biarku bawa bersama kenangan terindah ini bersemadi....



Karya MaZa KH 4887


Cerpen Cinta: Kaulah Mata Hatiku

Oleh Siti Sohaidayati Sohib

Deburan sang ombak yang tidak jemu-jemu menghempas pantai dapat kurasai percikannya dengan hujung kaki. Di dalam kegelapan ini, hatiku berilusi, memanifestasikan fatamorgana indah ciptaan Tuhan biarpun ia terlalu jauh daripada pandangan panca indera.

“Seri …” Arshad bersuara, cuba menarik perhatianku.

Bau haruman berjenama Davidoff yang begitu semerbak menandakan Arshad sedang berdiri tidak jauh dariku.

“Ada apa Shad panggil Seri?” Aku mengulumkan senyuman, cuba mencari-cari dari mana arah bunyi suara lelaki yang telah kukenali semenjak tiga tahun yang lalu sewaktu kami sama-sama menuntut di menara gading.
“Seri sukakan tempat ni?” Dia mengajakku untuk terus berbicara.

“Suka, tempat ni sejuk, banyak angin tapi sayangnya Seri tak nampak,” balasku jujur.

“Tapi Seri boleh menafsirkannya dengan mata hati kan?” Arshad mengajukan pertanyaannya.

“Hmm tapi tak sejelas seperti mereka yang mampu melihat,” kataku lirih.

“Seri, kalau Shad jadi ombak, Seri akan jadi apanya?” Soalan dari bibir Arshad itu kurasakan persis pertanyaan yang selalu diutarakan oleh anak-anak kecil.

“Merepeklah Shad ni.” Aku membalas acuh tak acuh.

“Seri, jawablah untuk Shad, Shad teringin nak dengar jawapan dari mulut Seri…” Rayuan Arshad cukup membuatkan aku tertawa geli hati.

“Shad kan kawan baik Seri. Kalau Shad dah rela sangat nak jadi ombak, Seri kenalah jadi pantainya, takut-takut kalau tak ada pantai nanti ombak tu jadi tsunami pula,” gurauku sambil ketawa panjang.

“Habis, kalau Shad jadi kumbang? Seri sudi ke jadi bunganya?”

Pertanyaan Arshad itu membuatkan aku terdiam. Kaku dan kelu seribu bahasa.

“Seri…” Kali ini Arshad menggapai jari jemari halusku lalu digenggam mesra.

“Shad tak nak kehilangan Seri walaupun sedetik dan sebenarnya Shad ingin melamar Seri untuk dijadikan suri di dalam hidup Shad.”

Genggaman tangannya di jemariku tambah erat.

Aku kaget lalu tunduk cuba menyembunyikan wajah daripada pandangan mata Arshad sambil mencari-cari kalimah terbaik untuk membalas bicaranya yang sungguh jauh daripada jangkaan hatiku.

“Seri, Shad dah lama menyintai Seri dalam diam.” Luahan Arshad itu membuatkan aku diulit resah.

“Shad, Seri tak tahu sama ada sekarang ni, Seri yang buta atau Shad sebenarnya yang buta. Shad kan tahu yang Seri ni cacat…! Tak sesempurna dan seayu wanita lain.”

Aku meluahkan segala ketidakpercayaanku pada setiap kata-kata Arshad.

“Tidak sayang. Kalau selama ini Seri tak dapat melihat, biarlah Shad yang akan menjadi mata untuk menyuluh hidup Seri buat selama-lamanya. Shad sungguh-sungguh menyintai Seri.” Lelaki itu mengulangi lagi kalimah cintanya.

“Shad, Seri tak sangka sejauh itu perasaan Shad terhadap Seri. Bermadah itu memang mudah dilafazkan dari lidah tapi hakikatnya Seri takut kalau suatu masa nanti Shad yang akan menyesal tak sudah.” Aku cuba menyedarkan Arshad daripada terus dibuai lena.

“Seri, dengarlah! Ini adalah keputusan seorang lelaki yang bernama Arshad Hakimi, Shad tak sanggup berpisah dengan Seri. Jawapan soal hati ini ada pada hati Seri sendiri.

“Beristikharahlah, semoga Tuhan benar-benar memberikan petunjuk pada Seri yang kehadiran Arshad ni memang dititipkan untuk menemani dan menyuluhi kegelapan hidup Seri,” tegas Arshad panjang dan penuh makna.

Bunyi gurauan sang ombak di bibir pantai masih kuat mendesah. Begitu juga persoalan hati yang baru dibahaskan oleh Arshad sebentar tadi. Bicaranya terlalu mengocak ketenangan dan meninggalkan buih-buih resah di tubir hati.

Malam makin gelap. Segelap pandanganku ini. Aku tahu di luar sana pasti ada sinar rembulan tetapi sinaran indah itu tidak mungkin sampai ke mata hatiku kerana ia sudah digerhanai resah.

Aku buntu. Bukan mudah untuk membalas cinta Arshad lantaran aku belum mencapai impianku. Sedari kecil, aku memang bercita-cita untuk menjadi seorang guru namun lantaran aku dilahirkan daripada golongan orang kurang upaya, bidang profesional itu masih belum terbuka untuk orang yang senasib dengan diriku.

Segulung ijazah yang aku miliki dalam jurusan Sains Soisal juga masih belum menjanjikan sebarang jenis kerjaya yang sesuai dengan keadaan diriku ini.

Sesungguhnya hasrat yang tertarik di hati kecilku ini ialah ingin menjejaki jejak langkah ayah dan ibu yang menyandang jawatan sebagai seorang guru dan mendidik anak bangsanya. Hasrat itu juga pernah ku suarakan kepada Arshad dan dia sungguh berbangga dengan impian murniku.

Sebagai seorang wanita juga, aku akur dengan fitrah alam. Setiap wanita pasangannya adalah lelaki. Di sebalik kecacatan kekalku ini, suatu masa nanti aku juga mempunyai naluri untuk hidup bersama seorang insan yang dipanggil suami, riuh dikelilingi cahaya mata dan berbahagia hingga ke akhir hayat.

Namun, apakah ada lelaki berjiwa luhur yang mampu menerima diri ini seadanya? Persoalan itu mengingatkan aku tentang lamaran Arshad tempoh hari.

Sesungguhnya aku tidak pernah menatap wajah Arshad apatah lagi menafsirkan renungan dari sinar matanya untuk mengukur sejauh mana kejujurannya terhadap diriku. Aku cuma mengenali suara garaunya dan mengecam kehadirannya melalui bau haruman yang sering dipakai ketika dia bersamaku.

Ada kalanya juga, jika dia sudah lama tidak menjengukku, terbit jua rasa rinduku pada lelaki itu. Malangnya, aku tidak mampu membaca bahasa cintanya yang terpamer di sebalik keprihatinannya meladeni setiap kerenahku.

“Apa perlukah aku menukar nama Arshad daripada seorang insan yang bernama sahabat kepada seorang lelaki yang bergelar kekasih?”

Kewarasan akalku cuba berbicara pada hati. Akhirnya hanya resah dan buntu yang datang tanpa henti.

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui segenap zahir dan batinku dan tidak ada satu urusan pun daripada setiap urusanku yang tersembunyi oleh-Mu. Berikanlah aku petunjuk seandainya pilihan ini baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku pada masa kini dan masa akan datang.”

Sepotong doa kudus itu kupanjatkan sebelum mengakhiri solat istikharah di hujung dinihari yang kian sepi.

Semilir yang datang dari samudera nan luas masih setia bertiup nyaman. Sesekali kedengaran siulan sang camar yang berselang-seli dengan desahan ombak.

“Seri..” Arshad menggapai tangan kananku.

“Cuba Seri teka, apa agaknya benda ni?” Arshad meletakkan sesuatu di telapak tanganku.

Aku cuba mengecam benda tersebut dengan sentuhan jari.

“Hmm, ini pasti cengkerang siput kan?” Aku cuba menebak.

“Betul, sayang.” Sejak dari hari pertama Arshad melamarku tempoh hari, acap kali perkataan sayang itu begitu mudah bermain di bibirnya.

Aku hanya mengangguk tanpa sepatah bicara.

“Seri, cuba Seri teka benda apa pula ni?” Arshad meletakkan benda lain di telapak tanganku.

Jemariku menyentuh permukaan kotak baldu berbentuk bulat yang lembut dan rata. Melihatkan aku yang tidak dapat menjawab tekaannya, dia mengambil semula benda tadi dari tanganku.

Kali ini dia meletakkan sebuah objek besi yang berbentuk bulat. Aku cuba meraba. Terasa ada bonggolan kecil di tepi objek besi yang bergelang kecil itu.

“Shad, apa ni? Shad nak main-mainkan Seri, ya?” Aku makin keliru kerana tidak mampu meneka nama objek yang sebenar.

“Seri, ini cincin emas, ada sebutir permata putih jernih di tengah-tengahnya. Cincin ni memang Seri punya. Shad hadiahkan sebagai tanda pernikahan kita nanti.” Arshad memadamkan kekeliruanku.

“Sebenarnya Seri tak boleh terima cincin ni, jari manis Seri tak sesuai memakai cincin yang secantik ini.” Aku menggeragapi tangan Arshad dan mengembalikan semula cincin itu ke telapak tangannya.

“Seri, kenapa Seri tolak cinta Shad? Shad ni memang tak cukup layak ke untuk Seri?” Arshad seakan-akan memberontak dengan tindakanku sebentar tadi.

Aku bungkam, tercari-cari kata-kata yang paling sesuai untuk dilontarkan.

“Shad, bukan Seri tak dapat menerima cinta Shad tapi Seri ingin mencapai impian Seri. Seri nak jadi cikgu, itu kan hasrat dan cita-cita yang Seri idam-idamkan selama ini.” Aku cuba memohon sedikit pengertian daripada lelaki itu.

“Baiklah, kalau macam tu, cuba Seri teka lagi, apa pula benda yang ini?” Arshad masih mahu meneruskan teka-tekinya.

Beberapa helai kertas yang tebalnya tidak sampai satu inci diletakkan di atas ribaanku.

“Apa lagi ni, Shad?” Aku sudah tidak sanggup dikelirukan lagi.

“Ini borang permohonan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, Shad akan tolong Seri isikan borang ni. Kalau permohonan ni diterima dan Seri dah berkhidmat sebagai seorang guru, Shad akan terus menikahi Seri.” Arshad menerangkan satu persatu.

“Terima kasih, Shad.” Hanya itu yang mampu aku terjemahkan kerana seluruh hatiku saat ini sudah dibaluti dengan sejuta kegembiraan yang tidak mampu kugambarkan dengan kata-kata.

Irama desiran ombak yang tidak lekang membasahi persisiran pantai masih senada alunannya seperti dahulu. Sang camar juga masih bebas berterbangan dengan riuh kicaunya yang sentiasa riang.

Tiga tahun telah berlalu. Biarpun begitu pantas putaran waktu, aku masih sama dengan Seri yang dulu. Seri yang dilahirkan dengan sepasang mata buta. Namun sesuatu yang tidak boleh disangkal ialah, wanita buta ini adalah isteri kepada Arshad Hakimi, seorang ibu kepada sepasang anak kembar yang sempurna deria penglihatannya dan apa yang lebih membanggakan, aku kini seorang guru yang berkhidmat di sebuah Sekolah Khas Cacat Penglihatan.

Ribuan terima kasih ku persembahkan buat suamiku, Arshad Hakimi yang tidak pernah kenal rasa jemu meminjamkan sepasang matanya untukku.

Puji dan syukur tanpa henti ku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana memberikan aku sejalur cahaya di sebalik kegelapan yang maha pekat ini.

No comments: