JAMBAN...
Kewujudanmu bukanlah sesuatu yang perlu dipertikaikan.Ketiadaanmu merupakan masalah besar bagi negara-negara membangun seperti Malaysia. Kau berada di mana jua di saat kami memerlukan. Aku tahu ramai yang membencimu. Cuma mereka akan ingat pada mu bila tibanya detik-detik yang meresahkan itu.
Ramai yang berkata...baumu kurang menyenangkan. Tetapi, mereka lupa, bau itu bukanlah bau asal dirimu. Bau itu sebenarnya datang dari perut mereka dan juga perutku ini. Ada perut yang mulia dan ada juga perut yang menerima apa sahaja, walaupun hasil itu bukan yang diterima hukumnya.
JAMBAN...
Kadang-kadang aku berasa kasihan dan simpati mengenangkan nasibmu yang terbiar tanpa penghargaan. Mereka menyumbat mulutmu dengan baja semula jadi itu dan kemudian mereka mengutuk dan mencacimu. Sungguh besar pengorbanan yang kau lakukan. Namun jasamu tidak dikenang. Bagiku keujudanmu adalah simbolik di dalam kehidupan yang penuh ketidakadilan ini. Yang bertenggek di atas terus menyalahkan sesuatu yang dibawah...yang lemah dan tidak mampu melawan.
JAMBAN... Aku berasa sungguh tenang setiap kali dapat bersamamu. Segala masalah bagai dapat aku lupakan. Terasa lapang dadaku...terasa lega mindaku. Fikiranku menjadi tenang setenangnya air di dalam aquarium yang tidak berpenghuni. Kaulah sumber ilhamku. Kadang-kadang aku terfikir...adakah Shakespere juga menyanjungi kewujudanmu? JAMBAN... Ketika aku menulis catatan ini...aku tahu...karya sebegini tidak akan terpilih sebagai Karya Terbaik Minggu Ini...Kerana tajuknya 'JAMBAN'. Jika anugerah itu diberikan...pasti ramai yang akan mempertikaikannya. Eeee....kotor dan menjijikkan...macam la tak ada benda lain yang nak ditulis. Sudah banyak daerah dan negara yang aku lawati.. .Namun aku tidak pernah mendengar sebarang penghargaan yang diberikan kepadamu. Misalnya...'Jamban Terbaik Minggu Ini'...Ataupun sekurang-kurangnya...'Jamban Terbaik Abad Ini'. Mungkin tiada siapapun yang akan terfikir untuk memberi anugerah seumpama itu kepadamu. Kau bukan bunga...kau bukan batu permata dan kau bukan juga lambang semangat muhibbah dan kejiranan.
JAMBAN...
Ribuan terima kasih aku ucapkan atas jasamu selama ini...Dan terima kasih juga kepada mereka-mereka yang melibatkan diri di dalam usaha pembersihan jamban. Aku tahu kerjaya seumpama itu selalu dipandang hina dan langsung tidak mendapat perhatian. Bayarannya juga amat sedikit dan mengharukan. Namun aku kagum dengan kesanggupan kalian kerana aku tahu...Aku juga mungkin tidak mampu untuk melakukannya. Jika ada yang menghina...bersabarlah...walaupun kerja itu kotor namun hasilnya adalah halal.
JAMBAN...
Sampai di sini sahaja yang mampu aku tuliskan untukmu sebagai penghargaan. Telah lama aku terfikir untuk menulisnya....Dan sekarang aku sungguh lega kerana berjaya meluahkan apa yang terbuku di kalbuku selama ini. Hari ini aku tak berapa sihat....jadi aku nak tidur awal sikit. Nanti bila aku terjaga pasti kita akan bertemu lagi. Aku tahu kau tak akan lari. Kau sentiasa setia menanti di situ.
Wednesday, July 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment