Monday, July 7, 2008

Anwar tidak perlu bersumpah - Mufti Perak

Mohd Rashidi Hassan

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Hrkh) - Ulama terkemuka di Malaysia seperti Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Hashim Yahaya dan beberapa yang lain menegaskan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah.

Dato' Seri Harussani membuat penegasan itu berkata, Anwar yang dihadapkan pertuduhan melakukan liwat, tidak perlu bersumpah atau bermubahalah kerana ianya tidak menepati undang-undang Islam.

Ini kerana katanya, tuduhan yang dikenakan ke atas beliau oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah dakwaan jenayah yang termasuk dalam hukum kazaf.

"Kaedahnya dalam kes ini, ialah 'orang yang menuduh mestilah mengemukakan bukti' dalam mahkamah, jika dia gagal mengemukakan bukti, dia boleh dikenakan hukuman hudud," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mengulas mengenai cadangan beberapa pihak termasuk Mufti Perlis yang menggesa Ketua Umum KeADILan itu bersumpah untuk membuktikan beliau benar atau pun tidak, Harussani secara sinis mengatakan, "itu cadangan dari orang yang terlebih pandai."

Katanya, masalahnya dalam kes membabitkan Anwar adalah perkara yang menjatuhkan maruah dan tidak timbul soal perlunya orang yang mendakwa atau tertuduh untuk bersumpah.

Mufti Perak itu turut memberi peringatan kepada umat Islam, khususnya orang-orang Melayu supaya tidak terikut-ikut dengan budaya agama lain yang bersumpah dengan kitab dan sebagainya.

"Tiada kaedah langsung kena sumpah dengan al-Quran, itu meniru budaya agama lain, sumpah yang ada dalam Islam cuma 'Wallahi, Wabillahi, Watallahi'," tegasnya.

Menyuarakan pandangan yang sama, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Hashim Yahaya berkata, kes yang dituduh kes atas Anwar adalah yang membabitkan hukum kazaf, bukannya li'an.

"Sumpah hanya diterima dalam kes suami isteri atau li'an. Menyuruh tertuduh bersumpah dalam kes membabitkan kazaf menyalahi hukum syarak," tegasnya ketika dihubungi.

Menurut beliau, masyarakat Islam tidak harus dikelirukan dengan gesaan bersumpah, kerana sumpah bukannya sesuai dalam semua perkara.

"Isunya tidak ada sumpah dalam bab kazaf, orang yang menuduh (Saiful) mesti membawa saksi sebagaimana yang disyaratkan dalam kanun jenayah syariah, jika dia gagal, dia boleh dikenakan hukuman 80 sebatan," tegas beliau.

Petikan dari HarakahDaily


Wajibkan solat bagi semua pemimpin

Jul 7, 08 4:46pm

Menteri besar Kelantan bercadang membawa usul untuk mewajibkan solat lima waktu dan solat Jumaat sebagai syarat wajib pengambilan bekerja bagi pemimpin semua peringkat, termasuk ketua jabatan dan kakitangan awam kerajaan negeri.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata syarat menunaikan solat itu akan dicadangkan sebagai satu kemestian dalam memegang jawatan seperti syarat kelayakan mesti lulus Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan, lapor Bernama.

"Saya akan mencadangkan di dalam dewan (undangan negeri Kelantan) sebagai syarat wajib untuk memilih jawatan ketua kampung, tok penghulu, pemimpin dan kakitangan awam. Mereka mesti menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat.

"Syarat ini bagi memastikan mereka yang dipilih adalah mereka yang menjaga akhlak mereka supaya menjauhi daripada elemen rasuah dan tidak bermoral," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita semasa sidang dewan itu berhenti rehat, di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas soalan lisan wakil rakyat Demit, Muhamad Mustafa mengenai langkah kerajaan negeri bagi mengatasi gejala
meninggalkan solat khususnya solat Jumaat dan sejauh mana penguatkuasaan undang-undang terhadap isu itu.

Nik Aziz berkata mereka yang tidak menunaikan rukun itu mempunyai masalah di dalam hati, iaitu kelemahan di dalam nilai akhlak dan moral.

"Mereka yang tidak menunaikan sembahyang itu menunjukkan bahawa mereka sudah tidak takut kepada Tuhan, Tuhan yang maha berkuasa, apatah lagi kepada manusia, yang sememangnya kurang berkuasa.

"Mesti mereka ini tidak takut dan berani berbuat apa saja," katanya.

Petikan dari : Malaysiakini.com

Perak bekal air paip percuma

Jul 7, 08 4:57pm

Selepas Selangor memberikan 20 meter padu air percuma, kini Perak - sebuah lagi kerajaan Pakatan Rakyat - turut memperkenalkan langkah serupa untuk mereka berpendapatan rendah.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata penduduk berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan akan mendapat kemudahan itu bermula Ogos ini.

nizar jamaluddin 100 days interview 180608Selangor, yang menunaikan janji dalam manifesto PAS dan PKR, mula melaksanakan kemudahan itu bulan lalu seluruh negeri kepada pemilik meter air individu.

Menteri besar Perak menambah, 15,000 penduduk miskin di negeri ini dikenal pasti bakal menerima manfaat itu dengan anggaran kos perbelanjaan yang ditanggung Lembaga Air Perak (LAP) sebanyak RM2 juta sebulan.

"Pemberian air percuma itu adalah sebahagian daripada sumbangan kerajaan negeri kepada penduduk miskin di Perak bagi meringankan beban mereka berikutan harga barang yang semakin meningkat," katanya hari ini, lapor Bernama.

No comments: