SEKALI lagi isu wanita mendapat perhatian umum negara ini. Apa yang sering kita dapati, wanita sering dipersalahkan jika masyarakat menghadapi masalah. Banyak berkisar kepada fizikal khususnya seksualiti wanita itu.
Yang muda, dipersalahkan kerana terlalu menggoda hingga membuatkan lelaki menjadi perogol. Yang berusia, dipersalahkan kerana akibat menopaus, ia tidak dapat memuaskan nafsu seks suami dan suami mencari yang muda.
Baru-baru ini, ada pihak yang mengatakan bahawa penceraian di kalangan pasangan berusia adalah sebahagian besarnya berpunca dari isteri yang berusia yang tidak mahu mencantikkan diri, melayan suami terutama dari segi seksual kerana mereka sudah menopaus atau putus haid.
Persoalan di sini ialah mereka yang mengeluarkan pendapat yang sedemikian merupakan golongan yang tidak sensitif kepada wanita sebagai anggota masyarakat yang begitu penting peranannya. Penulis sebagai seorang akademik yang telah banyak menjalankan kajian mengenai wanita hingga ke peringkat Ph.D ingin mengemukakan sedikit pendapat dan bukannya hendak man-bashing (mengutuk lelaki). Mungkin pihak lelaki mempunyai pendapat yang berlainan daripada saya kerana sememangnya lelaki dan wanita itu berbeza, bukan sahaja dari segi fisiologi, emosi, perasaan tetapi pandangan terhadap kehidupan secara menyeluruh. Apa yang penting ialah hasil dari perkongsian hidup antara kedua insan yang berbeza ini, maka perlulah diwujudkan sikap yang sabar, berkorban, bertanggungjawab dalam proses meniti kehidupan daripada muda hingga ke usia tua.
Sepanjang hayat, wanita mengorbankan masa, tenaga dan diri mereka untuk memasti keharmonian sebuah keluarga dan masyarakat. Wanita menjalani hidup dengan penuh cabaran. Peranan sebagai seorang isteri dan ibu memerlukan tanggungjawab yang berat. Siang dan malam menguruskan rumah tangga dan melayan suami dan anak-anak. Suri rumah sering mengeluh kerana kepenatan. Ditambah lagi dengan urusan kerja di kilang, pejabat dan banyak memberi tekanan kepada wanita. Berlandaskan prinsip dan ajaran agama dan budaya, wanita negara ini berusaha menjalankan tugas dan peranan mereka sebagai seorang isteri yang baik, beriman dan bertanggungjawab.
Kita mendidik anak-anak gadis kita supaya menjadi isteri dan ibu yang baik dan beriman. Ini terbukti dengan kajian yang banyak dijalankan yang mendapati bahawa wanita yang bekerja di negara ini cuba mengimbangkan kedua-dua peranan dan yang menjadi keutamaan dalam hidup mereka ialah suami dan keluarga. Kesejahteraan rumah tangga mengatasi segala-galanya dan suamilah segala-galanya untuk seorang isteri. Seorang isteri akan melakukan apa saja untuk membahagiakan suaminya.
Yang sedihnya, masyarakat masih melihat wanita daripada perspektif kecantikan fizikal dan seksualitinya. Dari sejak ia dilahirkan, kecantikan menjadi ukuran penting bagi seorang perempuan. Lihat sahaja perbezaan kita menilai anak yang baru lahir. Kalau perempuan, ramai yang memberi pujian jika kulit anak itu cerah, hidung yang mancung, tumit yang cantik dan lain-lain. Anak lelaki tidak mengapa kalau kulitnya gelap sedikit, hidungnya pesek. Itu tidak penting, kerana bila besar yang penting ialah kedudukan ekonomi dan statusnya. Gadis-gadis dibesarkan dengan pemikiran bahawa kecantikan itu amat penting. Lihat sahaja iklan-iklan yang ada. Produk untuk memutihkan kulit, mencantikkan rambut, pil mengurus badan banyak dipromosikan. Wanita gemuk tidak menarik. Wanita berkulit gelap tidak dapat menarik perhatian lelaki. Hasilnya, wanita itu sendiri dipengaruhi bahawa imej kendiri mereka amat bergantung dengan kecantikan fizikal dan seksualitinya.
Akibat penyerapan nilai begitu, masyarakat terus melihat wanita dari sudut fizikal dan seksualitinya. Industri kecantikan mengeksploitasi kedudukan ini. Ada wanita yang sanggup membuang wang beribu ringgit kerana mahu badan yang langsing, kulit yang tidak berkedut, payu dara yang segar, bentuk pinggul yang menawan dan paling ekstrem ada yang sampai menghadapi risiko pembedahan plastik. Ini semua kerana keinginan untuk cantik dan terus cantik dan kelihatan muda.
Malaysia adalah sebuah negara yang maju, bersifat global dan mempunyai Dasar Pembangunan Wanita yang banyak memberi peluang untuk wanita berjaya dalam pendidikan dan kerjaya. Negara ini mempunyai ramai menteri wanita yang dinamik, golongan profesional wanita yang berjaya. Lihatlah pencapaian wanita negara ini. Di peringkat universiti begitu ramai pelajar wanita. Yang amat sedih adalah situasi di mana ada sebahagian dari lelaki yang berfikiran kolot yang berpendapat bahawa wanita itu hanyalah hiasan dan tidak lebih dari itu. Saya yakin ramai lelaki di negara ini yang sudah terbuka pandangan mereka terhadap keupayaan wanita. Kepimpinan Dr. Mahathir memberi penghormatan yang tinggi kepada wanita. Segala dasar-dasar kerajaan memberi ruang kepada peningkatan taraf dan status wanita dalam masyarakat. Malaysia jika dibandingkan dengan banyak negara lain termasuk negara maju telah berjaya dari segi meningkatkan status wanita.
Namun itu dalam keadaan yang positif, bukan sahaja ada lelaki yang masih sempit pemikiran mereka mengenai wanita tetapi ada di kalangan wanita yang tidak dapat memandang lebih jauh. Lihat sahaja bagaimana majalah hiburan memaparkan imej artis-artis wanita seksi dan kejayaan mereka menawan hati golongan lelaki yang berkedudukan tinggi daripada kerabat, Datuk dan hingga ke anak Datuk. Cerita-cerita begini menjadi bahan utama majalah hiburan. Mesej begini yang boleh merosakkan generasi muda baik lelaki atau wanita. Kalau tidak dikawal, anak-anak gadis masyarakat negara ini mengalami konflik siapakah yang patut menjadi model peranan mereka.
Usia tua merupakan satu tahap di mana individu berusia itu akan mencapai umur yang diklasifikasikan sebagai tua dan akan mengalami penurunan ketahanan dan kekuatan fizikal dan mental. Di negara ini, umur 60 dianggap sebagai umur seseorang itu dianggap sudah mencapai umur tua. Apabila mencapai tahap umur ini, ia akan memberi kesan kepada kehidupan individu tersebut.
Namun itu setiap individu akan mengalami proses adaptasi yang berbeza terhadap umur. Ia merupakan satu proses biologi yang banyak dipengaruhi oleh faktor persekitaran, budaya dan kelas sosial individu tersebut. Bila kita melihat perspektif gender dalam menganalisis isu ketuaan, kita akan dapat lihat bahawa terdapat perbezaan antara kaum lelaki dan wanita dalam menangani dan meniti usia tua.
Dari perspektif global, semua negara mengalami peningkatan peratusan golongan berusia baik lelaki atau wanita. Ini adalah akibat peningkatan kualiti hidup dan status sosio-ekonomi, taraf kesihatan yang bertambah baik. Di negara ini, jangka hayat untuk lelaki dan wanita sudah mencapai 69 tahun untuk lelaki dan 74 tahun untuk wanita. Dalam jangka masa yang sama, di Malaysia, senario yang ada sebagai mana berlaku negara lain, ramai dari yang berusia khususnya the very old (80 tahun ke atas) terdiri dari kaum, wanita. The Feminization of Ageing merupakan satu pola demografi yang dihadapi di banyak negara. Didapati dalam banyak negara sekarang, ramai wanita yang boleh hidup hingga mencapai umur 80 tahun. Manakala jurang dengan lelaki ialah 7 tahun.
Dalam negara membangun, bilangan wanita yang berumur lebih dari 60 tahun akan bertambah 150 peratus di antara 1997 hingga 2025. Di Asia, dalam 1997 ada seramai 144 juta wanita berumur 60 tahun ke atas dan akan bertambah kepada 355 juta dalam 2025. Dalam tahun 1997, 9% wanita di negara membangun berusia lebih dari 80 tahun. Jangkaan pada tahun 2025, bilangan ini akan melipat tiga kali ganda. (US Bureau of Census, 1997).
Implikasi dari data ini menunjukkan bahawa jika Malaysia tidak mengambil langkah proaktif dalam menangani isu golongan berusia khususnya isu golongan berusia wanita, negara ini akan banyak dilanda masalah. Ini bertambah berat, kalau lelaki berusia di negara ini membuat keputusan untuk menceraikan isteri berusia mereka dan berkahwin wanita muda semata-mata kerana wanita berusia tidak lagi seksual dan menarik untuk mereka.
Data menunjukkan sebahagian besar wanita berusia di negara ini buat masa kini bergantung penuh kepada suami dan ahli keluarga yang lain sebagai sokongan terutama dari segi perlindungan khususnya ekonomi dan emosi. Tidak ramai wanita berusia negara ini yang mempunyai perlindungan seperti sistem KWSP ataupun simpanan. Ini kerana generasi wanita yang kini berusia 60 tahun majoritinya merupakan generasi agrarian dan desa. Tidak ramai wanita kategori umur ini yang berpendidikan dan pernah bekerja dalam sektor formal. Cuba fikirkan apakah akan terjadi kepada golongan wanita yang berusia ini setelah mereka diceraikan semata-mata kerana usia mereka?
Persoalan yang timbul dari isu ini ialah kenapakah lelaki begitu mementingkan diri mereka?
Alasan menopaus sebagai satu alasan isteri tidak dapat melayan suami dengan baik amat menyedihkan. Menopaus dilalui oleh semua wanita. Allah mesti ada sebab-sebab tertentu mencipta proses ini. Kenapa proses biologi wanita yang lain boleh dilihat dari perspektif positif, tidak menopaus, Putus haid memang menjadi satu stereotaip oleh lelaki untuk merendahkan wanita. Lihat sahaja komen-komen yang dibuat oleh orang lelaki baik di kedai kopi, lobi-lobi hotel hingga di bilik rehat di pusat pengajian tinggi mengenai wanita menopaus. Simptom menopaus dirujuk untuk menunjukkan wanita itu sudah tidak menarik lagi, emosi tinggi dan tidak dapat mengawal perasaan. Dari perspektif budaya, konsep kering menunjukkan wanita itu sudah tidak lagi aktif dari segi seksual. Ini dibuktikan oleh bukti perubatan yang mana hormon tertentu wanita sudah tiada lagi, maka ‘kewanitaan’ akan beransur pudar. Amat sedih sekali melihat wanita berusaha mencari rawatan dari ubat akar kayu, berurut hingga mengambil terapi penggantian hormon ( hormonal replacement therapy - HRT) demi untuk menjaga keharmonian rumah tangga. Dari satu kajian yang dibuat oleh penulis mendapati wanita Melayu profesional mengambil HRT bukan kerana ingin mengelak osteoporosis atau penyakit kardiovaskular tetapi lebih kepada memastikan mereka tidak ‘kering’ dan masih boleh memuaskan kehendak seksual suami mereka. Mereka begitu takut suami mereka akan mencari yang lain.
Kenapakah wanita harus mengalami perasaan begini?
Kenapakah lelaki begitu mementingkan diri kerana wanita yang sudah menopaus ini merupakan wanita yang telah bersama-sama mengharungi hidup bersama lebih dari 40 tahun dan lebih dari itu? Kenapakah bila usia tua, wanita ini kerap dipersalahkan dan membuat wanita merasa begitu insecure (tidak selamat)? Cuba bayangkan keadaan apabila ini berlaku? Apakah kewujudan satu perhubungan itu hanya berlandaskan seks dan kecantikan fizikal semata-mata? Pihak lelaki senantiasa angkuh dengan kekuatan daya nafsu seks mereka. Umur pada mereka tidak menjadi penghalang. Adakah ini benar? Benarkah kekuatan seks lelaki tidak dipengaruhi oleh faktor umur? Jika mereka menyalahkan wanita tidak mahu mengambil inisiatif untuk kelihatan menarik di hari tua, bagaimana pula mereka? Adakah lelaki tidak mempunyai kedutan usia tua, perut yang buncit, badan yang tidak tegap. Lihatlah cermin dan cerminlah diri. Kenapa hanya wanita yang harus senantiasa kelihatan menarik-dari muda hingga ke usia tua.
Pada hemat saya, sikap yang membuat lelaki bersikap begini ialah kerana budaya dan sistem sosial masyarakat itu sendiri. Sistem patriaki masih mendominasi masyarakat negara ini. Agama Islam merupakan agama yang adil untuk umatnya. Ia tidak mendiskriminasi kaum wanita. Namun itu, yang mendiskriminasi wanita ialah interpretasi agama oleh segelintir individu dalam masyarakat. Wanita perlu dilihat lebih jauh dari semata-mata sebagai perhiasan dan seksualiti mereka. Pengorbanan seorang isteri dan seorang ibu itu perlu dihargai. Janganlah semata-mata kerana ia telah mencecah usia tua, mengalami simptom-simptom menopaus, ia menjadi alasan untuk sebilangan lelaki untuk memuaskan nafsu mereka.
Dalam meniti usia tua, pasangan perlu menghargai ikatan yang dibina sekian lama dan terus berusaha untuk menjalin hubungan yang mesra dalam erti yang lebih luas, bukan hanya mengukur kekuatan seksual individu dan tarikan fizikal yang bersifat superfisial.
* DR. ROZIAH OMAR adalah dari Jabatan Antropologi Universiti Malaya.
Tuesday, July 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment