Monday, July 7, 2008

Horoskop : Tilikan Bintang !!

KEKADANG hairan juga apabila umat Islam lebih percaya kepada tilikan bintang atau horoskop daripada qada dan qadar Allah. Mereka percaya apa yang diterangkan daripada bintag malah kadangkala taksub dan menganggap apa yang diberitahu itu benar walaupun ia hanyalah kebetulan.Apakah pandangan Islam terhadap ramalan bintang horoskop?

Ada orang berkata mengapa tidak boleh mempercayai bintang horoskop sedangkan orang dahulu juga mempercayai bintang termasuk menentukan waktu dan arah perjalanan?


Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, berkata mempercayai ramalan bintang horoskop adalah haram bahkan sebarang ramalan lain juga adalah haram.

Menurutnya, kepercayaan seperti itu termasuk dalam hukum bertenung nasib yang diharamkan dalam Islam, seperti ditegaskan pada ayat 90, surah al-Maidah.

“Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah perbuatan keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Horoskop atau ramalan zodiak adalah carta atau diagram yang menunjukkan kedudukan relatif objek langit seperti matahari, bulan dan planet.

Perkataan horoskop berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud ‘melihat jam.’ Untuk memperoleh horoskop seseorang, tempat, hari dan tarikh lahir orang itu mesti diketahui. Tarikh itu pula akan jatuh pada satu daripada 12 lambang zodiak yang sedia ada iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces.

Menurut ilmu astrologi, ramalan nasib berdasarkan bintang, setiap zodiak itu mempunyai keperibadiannya yang tersendiri dan nasib setiap orang berdasarkan kepada zodiak serta kedudukan matahari, bulan dan planet pada hari itu. Ilmu astrologi dahulunya di Barat adalah satu disiplin bersama ilmu astronomi, namun sejak kurun ke-18, ilmu terbabit menjadi dua disiplin berbeza.

Ilmu astrologi adalah ramalan berdasarkan bintang, manakala astronomi ialah bidang kaji bintang dan angkasa raya atau ilmu falak. Zamihan berkata, ilmu ramalan bintang atau astrologi dan ilmu kaji bintang atau astronomi adalah dua subjek berbeza dan perbezaan ini perlu difahami dengan sebaik-baiknya supaya tidak nanti timbul kekeliruan.

“Dalam ilmu mengkaji bintang atau disebut juga ilmu falak ia dijadikan sandaran untuk mengenali komposisi kita, contohnya menentukan waktu solat, kita melihat kepada longitud dan latitudnya, apakah sudah waktu Isya atau Subuh.

“Sama juga apabila berlayar di lautan, pelayar akan melihat bintang di langit, berdasarkan kerlipan atau kedudukan bintang memberikan panduan kepada mereka untuk menentukan arah pelayaran dan tiba ke destinasi ditujui,” katanya.

Beliau berkata, ramalan horoskop pula ialah merujuk kepada bintang dan dengan ramalan itu mempercayai dapat memberikan penyebab kepada kehidupan seseorang sama ada kebaikan atau keburukan seseorang. “Mempercayainya seperti seorang dilahirkan dalam bulan sekian membawa kebaikan atau keburukan adalah jelas haram kerana ia termasuk perkara karut dan khurafat.

“Dalam Islam, melahirkan atau dilahirkan dalam bulan dan hari apa sekalipun tidak memberikan kebaikan atau keburukan, cuma dalam Islam ada dibincangkan keistimewaan hari dan bulan tertentu. “Tetapi mempercayai tarikh, waktu atau bulan tertentu memberikan kebaikan, keuntungan, kerugian atau keburukan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

“Ini kerana bintang juga adalah makhluk iaitu benda yang diciptakan, sama dengan makhluk yang lain, diciptakan dan yang mencipta ialah Allah.

“Sepatutnya kita kena mempercayai kepada Allah, yang berkuasa atas segala-galanya, bukannya seperti ramalan bintang, hanya terikut-ikut dengan pengaruh orang Barat.

“Kepercayaan kepada horoskop tidak lebih sekadar amalan orang Jahiliyah,” katanya. Beliau berkata, orang Jahiliyah memang mempercayai benda karut seperti ini, sehingga menjadikan bintang dan matahari sebagai Tuhan sembahan mereka, membuatkan mereka berada dalam kesesatan.

“Orang Islam tidak boleh terpengaruh dengan benda ini, walaupun sedikit kerana ia boleh menjejaskan akidah. “Kelahiran manusia dan nasib baik atau buruk adalah ketentuan Allah.

“Teori horoskop itu adalah satu tilikan berdasarkan teori falsafah orang Barat dan mereka yang mempercayainya cuma dari sudut perasaan saja. “Perasaan saja sudah boleh membuatkan orang yang mempercayai berasa ceria atau murung,” katanya.

No comments: